Hari Kesepuluh : Lapangan Terbang Damascus-Kuwait-KLIA
2 November 2008 (Ahad)
Keletihan pada malam sebelumnya, membolehkan delegasi berehat secukupnya. Kami dikehendaki berkumpul di lobi bersama beg pakaian jam 12.00 tengahari. Setelah mengumpulkan semua beg, kami beredar ke kafe untuk menikmati makan tengahari yang disediakan oleh PPMS. Setengah jam kemudian, bas yang membawa kami ke lapangan terbang tiba di bawah hotel dan kami membantu memasukkan bagasi ke dalam bas. Bas bergerak dan menghantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Damascus. Kami tiba awal dan terpaksa menunggu di ruang legar sementara kaunter mendaftar masuk dibuka jam 3.00 petang. Kelihatan pelbagai ragam manusia semasa menghantar sahabat handai mereka untuk berhijrah ke luar negara. Sementara menunggu, ada delegasi berjalan-jalan melawati kawasan lapangan terbang ini untuk menghilangkan rasa bosan.
Jam 3.40petang, kami mendaftar masuk dan menyusun bagasi-bagasi. Sebelum memasuki ruang pemeriksaan, kami mengucapkan terima kasih kepada pemandu pelancong juga ahli PPMS, Ustaz Azrul, Ustaz Hakimi dan Ustaz Azmi kerana kesanggupan mereka membantu mengurus dan menyelesaikan pengembaraan kami di Bumi Anbiya, Syria. Akhirnya kami melalui pemeriksaan imigresen dan pasport untuk berlepas ke Kuwait dengan menaiki pesawat Kuwait Airways. Sementara menunggu untuk dipanggil masuk menaiki pesawat, kami sempat berjalan-jalan ke setiap kedai dan membeli sedikit manisan untuk dibawa ke Malaysia.
Pesawat yang membawa kami ke Kuwait bertolak jam 6.00 petang dan mengambil masa perjalanan selama 2 jam. Perjalanan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan tiba di Kuwait untuk transit jam 8.10malam. Kami hanya perlu menunggu semula di pintu 26. Sementara menunggu delegasi menunaikan solat jamak di Lapangan Terbang Kuwait. Kelihatan delegasi berbual-bual dan berjalan-jalan di sekitar lapangan terbang. Kami masuk ke balai berlepas jam 10.45malam dan menaiki pesawat 1 jam kemudian. Sepanjang perjalanan pulang, kami menghabiskan masa dengan menonton filem dan tidur. Perjalanan mengambil masa selama 7 jam 45 minit untuk tiba di KLIA, Malaysia.
Akhirnya pesawat yang kami naiki selamat mendarat di KLIA, jam 12.45 tengahari waktu tempatan. Kelihatan delegasi gembira dan bersyukur kerana selamat tiba di tanah air sendiri dan tidak sabar menemui keluarga tercinta. Selepas memungut bagasi, kami bersalam-salaman sesama ahli delegasi IntEx 2008 yang telah menjadi sebuah keluarga. Selepas itu, kami berpecah, setengah delegasi menaiki bas Universiti Multimedia pulang ke Melaka, terdapat keluarga menjemput di KLIA, serta ada yang menaiki pesawat pulang ke negeri sendiri. Pengembaraan selama 12 hari termasuk perjalanan pergi dan pulang tidak dapat diluputkan dari ingatan dan disimpan sebagai kenangan manis bersama ahli delegasi IntEx 2008.
Kredit di atas catitan ini kepada:
NOR HAIZUM SHAHRIL
Bachelor of Business Administration (Hons) Human Resource Management
NURULASLAH BINTI MOHAMED ANUAR
Bachelor of IT (Hons) Security Technology
Friday, February 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment