Hari Keempat: Damascus/Busro/Palmyra
27 Oktober 2008 (Isnin)
Seperti hari-hari yang lepas, delegasi menyiapkan diri untuk memulakan perjalanan. Hari ini merupakan perjalanan yang pertama kami berhijrah dari satu bandar ke bandar yang lain. Kami mengemas semua barangan dan membawanya bersama sepanjang penghijrahan kembara ke seluruh bandar Syria. Destinasi pertama adalah Busro yang terkenal dengan kesan-kesan peninggalan pada zaman Romani. Kami berkumpul dan bertolak dengan menaiki bas ekspres jam 8.00pagi. Sementara menunggu bagasi-bagasi dimasukkan ke dalam bas, kelihatan lalu lintas yang sibuk dengan pelajar-pelajar sekolah bergegas melintas jalan raya. Suhu ketika ini adalah 18C.
Bas bergerak ke destinasi yang dijanjikan pada 8.15pagi. Busro adalah sebuah tempat peninggalan sejarah di zaman Romani. Antara tempat menarik adalah tugu zaman Romani, tapak bermula kerajaan Negara Syam dan Zaman Muawiyah. Kami tiba di kawasan sejarah Busra dua jam kemudian. Kami menikmati pemandangan disekiling dan terdapat pokok kurma menghiasi kawasan padang pasir. Kesan peninggalan bangunan di zaman Romani kelihatan cantik, unik dan berdiri teguh hingga ke abad ini.
Kami memasuki setiap lorong di setiap ruang di bangunan dan kawasan tersebut. Setelah melawat ke semua bahagian, jam 12.30tengahari kami menikmati makan tengahari di Restoran Caracalla berhadapan dengan bangunan bersejarah. Kemudian kami bergerak ke Makam Imam Nawawi yang mengambil masa dua jam perjalanan. Sepanjang perjalanan kelihatan khemah didiami penduduk di kawasan lapang dan kami difahamkan bahawa musim ini amat sesuai untuk bercucuk tanam untuk tanaman mereka.
Kami sampai di Makam Imam Nawawi jam 3.17petang dan didapati pintu masuk ke makam tersebut kunci. Kami terpaksa menunggu hingga penjaga makam tersebut membukakan pintu tersebut. Akhirnya pintu tersebut dibuka dan kami diberi penerangan mengenai maklumat peribadi serta perjuangan Imam Nawawi. Beliau seorang yang suka kepada ilmu dan pada usia 5 tahun beliau sudah menghafal ayat-ayat al-Quran. Maklumat diterjamah oleh Ustaz Hakimi.
Setelah berpuas hati dengan maklumat yang diperoleh, kami menuju ke destinasi seterusnya adalah Makam Nabi Ayyub dan kolam Nabi Ayyub. Menurut sejarah nabi seorang yang penyabar dan menghadapi kusta selama 18 tahun. Beliau sabar, tabah, dan redha menghadapi rintangan seumpama itu. Selesai lawatan kami beransur ke kolam nabi Ayyub yang mengambil masa 5 minit dari makam beliau. Kolam tersebut mempunyai keistimewaan dapat menyembuh penyakit kusta nabi. Walaubagaimanapun kolam tersebut tidak dijaga dan tidak bersih. Laluan menuju ke sana turut tidak diturap dan dipenuhi dengan batu bata.
Tepat jam 5.25 petang, kami meneruskan perjalanan ke Palmyra yang memakan masa selama 4 jam perjalanan. Bas melewati rumah-rumah besar yang berada di sekitar jalan raya dan kami asyik menonton cerita Toms & Jerry di dalam bas sementara menunggu masa tiba di bandar Palmyra. Kelihatan hari semakin gelap memandangkan waktu maghrib masuk pada ketika itu. Bas berhenti di stesen minyak dan ada delegasi singgah ke bilik air.
Bas menyambung perjalanan tetapi terpaksa berpatah balik ke Damascus kerana jalan ke Palmyra tutup dan perjalanan mengambil masa 3 jam. Ketika itu jam menunjukkan 8.20malam dan kami singgah di masjid untuk menunaikan solat. Kami tiba di Palmyra jam 11.12 malam dan menikmati makan malam di restoran. Kami disajikan dengan hidangan nasi, ayam goreng, kuah tomato dan air teh. Kelihatan delegasi keletihan dan mengantuk kerana hari sudah lewat dan hanya menanti masa untuk mendaftar masuk ke hotel. Selesai makan, kami beredar ke hotel. Kami tiba di hadapan hotel jam 12.20pagi dan delegasi dibahagikan kepada 3 orang untuk 1 bilik.
Friday, February 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment