Friday, February 6, 2009
My Syrian Journal - Hari Kedua
25 Oktober 1008 (Sabtu)
Perubahan masa dan tempat membuatkan senang terjaga dari tidur yang nyenyak, jarum jam berada didinding tepat 5.30pagi, segera bangun dan menunaikan solat subuh. Di penginapan perempuan, kami mempunyai masalah di mana terpaksa menunggu seorang demi seorang untuk mandi dan terpaksa berjimat cermat menggunakan air kerana kawasan kediaman kami mengalami catuan air.
Minum pagi disediakan oleh Datuk Rabiyah. Kami turut menyediakan minuman pagi untuk delegasi lelaki. Kami menikmati hidangan pagi sambil berbual-bual bersama delegasi yang lain sementara menunggu waktu berkumpul jam 7.30pagi di hadapan rumah PPMS. Suasana pagi yang tenang, cuaca yang sejuk dan lengan kerana hari cuti di hujung minggu.
Sampai waktu, kami bersiap-siap berjalan menuju ke bangunan PPMS dan kelihatan tiada delegasi lelaki di sini. Setelah menelefon, rupa-rupanya masa telah ditunda kepada jam 8.30pagi. Delegasi perempuan yang tertinggal telekung pulang semula ke tempat penginapan untuk mengambil telekung. Pada jam 8.20pagi baru kami masuk ke rumah PPMS.
Perbincangan antara delegasi dan pihak PPMS diadakan selepas menikmati sarapan pagi. Antara isu yang dibincangkan adalah penginapan, ketepatan masa dan air. En Zamzuri menenangkan hati semua orang dengan memberikan motivasi “Take a problem as a challenge”. Setelah selesai berbincang, jam menunjukkan 10.00pagi, kami menaiki van atau service (nama panggillan yang digunakan penduduk disini) untuk melawat makam-makam bersejarah, malangnya lima belas minit kemudian masih belum bertolak. Kami menanti dengan penuh kesabaran dan perasaan bosan meliputi hati masing-masing terhadap pengurusan logistic kami disini.
Tepat 10.33pagi, van yang membawa kami mula bergerak. Keadaan jalan raya yang sesak menyebabkan perjalanan kami perlahan dan lewat tiba di tempat tersebut. Kelewatan ini menyebabkan jadual perjalanan kami terpaksa diubah. Kami menyelusuri jalan raya dengan menyaksikan ragam dan lagat masyarakat Syria yang suka membunyikan hon kereta mereka ketika memandu, kelihatan wanita-wanita arab yang cantik, projek-projek pembaikpulih jalan giat dijalankan, dan jenama buatan kereta Malaysia juga digunakan oleh penduduk disini seperti Waja, Gen2 dan Kelisa.
20 minit kemudian, Kami sampai di makam pertama iaitu Dehya Al-Kalbi yang terletak di kawasan Perkuburan Mazid Kawasan tersebut dikelilingi oleh kubur-kubur penduduk tempatan. Beliau merupakan sahabat Rasulallah yang dikagumi, sangat tersohor, warak, kuat beribadat. Tarikh lahir dan tarikh meninggal beliau tidak diketahui dan jika ada yang menganggar tarikh tersebut akan menimbulkan keraguaan kepada semua orang. Perbezaan reka bentuk kuburnya berbeza kerana hanya mempunyai satu batu nisan sahaja. Seterusnya kami menaiki van semula dan bergerak menuju Kawasan Makam Bok Sorih di mana terletaknya makam Bilal bin Rabah. Di kawasan perkuburan telah juga terdapat makam Asma’, Fatimah az-Zuhra (cicit nabi), cucu nabi, sahabat-sahabat nabi, UMMU Salamah, UMMU Habibah dan Saidina Mawiyah bin Abu Suffian, seorang penulis wahyu. Penerangan di makam-makam ini disampaikan oleh Ustaz Muadz dan dibantu oleh Ustazah Mashitah dari PPMS.
Setelah menziarahi kesemua makam-makam tersebut, jam menunjukkan 1.30petang dan kami menunggu van untuk pulang semula ke PPMS. Kenderaan di jalanraya begitu sibuk, pemandu-pemandu membunyikan hon tanpa ada tujuan, mungkin itu cara pemanduaan mereka. Kelihatan aktiviti jual-menjual sedang berjalan. Cuaca ketika ini panas dan berangin. Sistem pengangkutan awam yang menjadi pilihan penduduk ialah teksi dan van (service).
Van sampai setengah jam kemudian dan bergerak menuju ke PPMS. Van yang membawa kami masuk di lorong belakang bangunan sehingga di tepi bangunan yang sempit untuk mencari jalan pintas. Hasilnya van kami terpaksa berpatah balik. Kami sampai di rumah PPMS jam 2.35petang untuk makan tengahari sebelum menyambung semula lawatan ke makam-makam yang seterusnya. Makan tengahari disediakan oleh ahli PPMS dan menu hari ini adalah nasi dan lauk ayam.
Selesai makan, jam 3.45 petang, kami menaiki semula van untuk melawat ke Makam Perkuburan Ummayat yang terletak berhampiran dengan Souq Hamidi. Antara makam-makam terdapat disini adalah makam Solahuddin, makam Abu Hurairah, makam Abu al-Darda. Kelihatan sesak dan ramai pelancong mengunjungi tempat-tempat tersebut.
Kemudiannya kami menuju ke Jami’ Umawi di mana terletaknya jam matahari pertama di dunia. Mengikut sejarah, tempat ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sebelah kanan adalah masjid untuk penganut Islam dan disebelah kiri adalah gereja untuk penganut kristian. Disini juga tempat pendamaian di antara penganut Islam dan Kristian dari berlakunya peperangan senget. Akhirnya seluruh bangunan ini dijadikan masjid. Kami terpesona dan kagum dengan struktur bangunannya cantik dan ukiran halus yang dilukis menggunakan tangan. Dinding utama bangunan diperbuat daripada emas. Penerangan di makam-makam dan masjid bersejarah ini disampaikan oleh Ustaz Hakimi dan Ustaz Firdaus dari PPMS.
Selesai mengelilingi dan mendapatkan maklumat di kawasan Masjid Umawi, jam 6.30petang kami berkumpul di van untuk pulang ke rumah kediaman. Sementara menunggu van, kami sempat melihat gelagat pengunjung-pengunjung keluar dan masuk Souq Hamidi. Ini kerana kawasan Souq Hamidi adalah sebuah pasar besar yang menjual pelbagai barangan kegunaan harian termasuk barangan cenderahati boleh dibeli oleh pelancong untuk dibawa pulang ke tanah air. Kelihatan setiap delegasi keletihan dan kepenatan dengan perjalanan hari ini.
Setibanya di rumah kediaman, kami menguruskan diri dan berehat. Kami terpaksa berjimat cermat menggunakan air kerana catuan air. Seperti yang dijanjikan jam 8.45 malam kami berkumpul di rumah PPMS untuk menikmati hidangan makan malam yang disediakan oleh ahli PPMS. Delegasi perempuan tiba awal di rumah PPMS sambil membawa botol-botol kosong untuk diisi air dan digunakan keesokkan harinya. Sementara menunggu hidangan kami berbual-bual membincangkan perjalanan kembara kami. Makan malam ini turut disertai oleh pelajar-pelajar senior dari PPMS.
Selesai makan malam, kami membantu mengemas di ruang makan dan kemudiannya diadakan sesi dialog bersama wakil tertinggi PPMS. Majlis ini bermula jam 10.00 malam, hanya 12 orang ahli delegasi dan 15 orang ahli PPMS yang hadir. Kelihatan saudara Osama dan Najeeb tiada semasa majlis bermula. Sesi dialog ini diketuai oleh Saudara Hairul Faizal, Pemangku Presiden PPMS. Di dalam ucapan saudara Hairul, beliau mengucapkan selamat datang dan memohon maaf segala kesulitan yang berlaku sepanjang perjalanan ahli delegasi IntEx’08 di Syria.
Ucapan seterusnya disampaikan oleh Saudara Mohd Fairuz Sariz, Pengarah Program IntEx 2008. Beliau telah menerangkan sejarah Kembara Antarabangsa yang telah menjangkau usia ke-8 pada tahun 2008. Selain itu, beliau turut menerangkan tujuan utama pengembaraan IntEx’08 ke Bumi Anbiya, Syria sebagai destinasi kajian pada tahun ini.
Majlis diteruskan dengan ucapan Saudari Nor Haizum sebagai Presiden Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Melayu (PBMKM). Antara pengisian ucapan beliau adalah visi dan objektif persatuan. Beliau juga mengharapkan jalinan ukhuwah dapat diteruskan di masa hadapan. Kemudian majlis beralih kepada sesi soal jawab yang dikemukakan oleh ahli delegasi. Montaj dan maklumat dari universiti disampaikan oleh Saudari Nur Hidayah, dan nyayian lagu “Permata Dunia” mengakhiri majlis ini.
Selesai majlis dialog, kami memohon kebenaran untuk menggunakan rumah pentadbiran PPMS untuk mengadakan perbincangan ‘post-mortem’ pertama delegasi IntEx’08. Di dalam perbincangan tersebut diketuai oleh Saudara Fairuz dan disambung oleh Saudara Hasmanto untuk menerangkan masa perjalanan pada keesokkan hari dan seterusnya. Terdapat beberapa slot masa perjalanan terpaksa diubah seperti melawat Universiti Damascus dan Kedutaan Malaysia. Pelbagai isu berbangkit diketengahkan dan kelihatan perbincangan sedikit tegang. Tepat jam 12.40 pagi majlis ditangguhkan dan beredar pulang ke rumah kediaman. Malam yang sunyi dan tenang membuatkan tidur kami lena dan nyenyak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment