Hari Kesembilan: Damascus
1 November 2008 (Sabtu)
Malam yang panjang membuatkan kami semua tidur lena dan dibuai mimpi yang indah. Kami bersarapan pagi di kafe hotel jam 8.00 pagi dan kelihatan wakil tertinggi PPMS berkumpul di hotel penginapan untuk bertemu dan berbincang dengan pegawai delegasi di bilik bertunggu. Selesai bersarapan kami dipanggil untuk bermesyuarat tergempak untuk membincangkan isu kewangan. Dimaklumkan setiap delegasi dikehendaki membayar 35 USD atau 1500 SP untuk tax pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Damascus. Semua delegasi dinasihatkan supaya mengasingkan wang tersebut daripada diguna untuk membeli-belah. Isu pembayaran tax baru diketahui dan diberitahu oleh wakil PPMS.
Selesai perbincangan jam 11.00pagi, kami bertolak menuju ke perpustakaan negara untuk menambah maklumat kajian dengan menaiki van (service). Setiba disana waktu melawat hanya dibuka untuk pelajar sekolah yang mempunyai pas pelajar. Kami terpaksa menukar rancangan dan menuju ke kedai buku yang terletak berhampiran Souq Hamidi. Terdapat banyak kedai buku tetapi hanya beberapa kedai sahaja menjual buku dalam terjemahan Bahasa Inggeris. Hampir kesemua keadi buku kami kunjungi. Keadaan lalu lintas sesak dan ramai pengunjung melawati kawasan ini. Selepas menjumpai buku tokoh yang dicari dan juga disarankan oleh Ustaz Hakimi, akhirnya delegasi membeli buku tersebut selepas tawar-menawar dengan peniaga.
Tepat jam 3.00 petang kami pulang ke hotel penginapan dengan berjalan kaki kerana Souq Hamidi terletak berhampiran dengan hotel penginapan. Di hotel kami menikmati makan tengahari di kafe dan kemudian menunaikan solat. Kami berkumpul semula jam 4.15petang di bawah hotel dan menuju ke Makam Roqayah kemudiannya ke Souq Hamidi untuk membeli belah. Kami diberitahu masa di Syria lewat satu jam kerana perubahan musim. Kami hanya berjalan kaki sambil melihat gelagat masyarakat arab Syria di bandar Damascus. Cuaca yang terang dan berangin membolehkan penduduk setempat melakukan kegiatan aktiviti dengan mudah.
Kami menyelusuri setiap lorong pasar yang sibuk. Kelihatan pelbagai jenis perniagaan yang dijalankan disini. Akhirnya kami tiba di Makam Roqayah. Kelihatan sebuah masjid yang besar dan luar serta kilauan kristal yang menghiasi permukaan siling dan dinding masjid. Ramai pengunjung menziarahi Makam Roqayah dan keadaan sesak ketika kami melalui pintu utama. Jam 4.20petang kami berkumpul di luar masjid dan berpecah kepada dua kumpulan untuk membeli-belah. Kami berjanji bertemu semula di hadapan Tugu Salahuddin jam 7.30petang.
Kawasan Souq Hamidi merupakan sebuah pasar besar tumpuan utama masyarakat tempatan dan pelancong berkunjung untuk mencari barangan keperluan harian. Selain itu, terdapat peniaga menjual barangan cenderahati. Suasana yang sesak menyukarkan kami untuk bergerak. Selesai mendapatkan barangan yang dicari, kami berkumpul di tempat yang dijanjikan. Semua pelajar berkumpul tepat pada waktunya tetapi hanya seorang delegasi tidak muncul. Kami mencari dan cuba menghubungi saudara Luqman tetapi gagal.
Keadaan panik dikhuatiri beliau hilang. Sedang kami mencari, bas telah tiba untuk membawa kami ke restoran terbesar di dunia, Damascus Gate Restaurant. Bas menuju ke hotel untuk mengambil pegawai-pegawai dan beberapa delegasi. setibanya di hotel seorang delegasi diarahkan mencari Luqman dibiliknya dan beliau berada disana. Kami diberitahu Luqman telah pulang awal ke hotel seorang diri. Semua delegasi menaiki bas, dan tepat jam 8.35 malam bas bergerak menuju ke restoran untuk makan malam.
Kami tiba di perkarangan Restoran Damascus Gate setengah jam kemudian. Restoran terkemuka ini tersenarai di dalam World’s of Record sebagai sebuah restoran yang terbesar di dunia serta mempunyai 30 dewan makan yang menyajikan pelbagai masakan dari seluruh dunia. Cuaca malam sejuk dan berangin. Kami menikmati hidangan makan malam sambil diperdengarkan alunan musik piano. Setiap delegasi dikehendaki membayar makanan mereka sendiri.
Selesai makan, tepat jam 11.20malam, kami berkumpul di hadapan bas dan bertolak pulang ke hotel. Kelihatan setiap delegasi keletihan dan mengantuk. Setibanya di hotel, kami menuju ke bilik sendiri dan mengemas barangan serta keperluan harian kerana keesokkan hari kami bertolak pulang ke Malaysia.
Friday, February 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment