Sunday, May 4, 2008

Menanti janji-janji parti politik

Oleh: Mazlan Nordin

KADANGkala disebut ialah pertembungan di antara pihak yang dianggap tidak berkemungkinan dan yang disebut sudah pun pasti. Sebagaimana dicatat dalam media Barat mengenai pilihan raya dipelbagai negara “the improbable” lawan “the inevitable.”


Namun seperti juga termaklum, dalam dunia politik tidak ada yang kekal abadi. Dalam ingatan, antara lainnya ialah pesanan Allahyarham Tun Dr. Ismail dalam sidang Parlimen mengenai kancah politik dengan pelbagai kemungkinannya.


Pilihan Raya Umum Ke-12 setelah 50 tahun merdeka membawa perubahan serba-serbi. Bahawa ia berlaku tanpa mencetuskan demonstrasi atau huru-hara seperti di beberapa negara lain menjadi ukuran kebebasan dan kemantapan sistem demokrasi di Malaysia.


Sikap sesetengah para pengundi masa kini jelas berbeza daripada sikap pengundi yang dulu mengalami sendiri pelbagai peristiwa sejarah. Bagi mereka nilai-nilai dewasa ini menjadi perhitungan.


Namun, dalam barisan pihak oposisi yang menguasai lima buah negeri ternyata sokongan dari sebilangan orang Melayu, Cina dan India. Sebagaimana yang dialami Barisan Nasional (BN) selama ini sejak merdeka.


Bagi kesemua parti ini ialah cabaran-cabaran baru yang perlu diatasi untuk menjamin masa depan masing-masing.


Setiap pengundi dengan catatan mereka pada hari mengundi. Bagi tukang catat ini ialah reaksi berikut, antara lainnya: Siapa menduga bahawa Datuk Mukhriz Mahathir (Kedah), Datuk Tajol Rosli Ghazali (Perak) dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (Selangor) akan menjadi ketua pembangkang di negeri masing-masing?


Siapa menduga bahawa Dr. Lo’ Lo’ Ghazali (Pas) menang di kawasan Parlimen Titiwangsa yang termasuk di dalamnya kawasan Kampung Baru.


Siapa menduga Datuk Shahrizat Abdul Jalil tewas kepada Nurul Izzah Anwar (PKR) yang kali pertama mencebur diri dalam politik?


Perhatian

Menarik perhatian ialah tidak timbul sama sekali isu agama sebagaimana berlaku dalam kempen politik di Amerika. Suatu contoh ialah kenyataan Ann Coulter dari golongan konservatif supaya Amerika menyerang negara-negara Islam untuk memaksa warga mereka memeluk agama Kristian. Ini dikecam oleh pihak media Amerika yang menyifatkannya sebagai perbuatan menggunakan penyembur api (flamethrower) seperti di medan perang.


Dilaporkan secara besar-besaran di Amerika ialah pertemuan John McCain, calon presiden Parti Republikan dengan Presiden Bush di Rumah Putih. Pertemuan itu dianggap sebagai sesuatu yang janggal kerana pada tahun 2000 cubaan McCain untuk menjadi calon digagalkan oleh penyokong-penyokong Bush. Lalu McCain kemudian berkata, penyokong-penyokong presiden kelak akan menjadi “tempat istimewa dalam neraka.” Lain hal berlaku pada 2008.


Peranan para wartawan juga menjadi bahan polemik semasa dan selepas kempen pilihan raya di mana juga. Akhbar New York Times, umpamanya memihak kepada Hillary Clinton untuk pilihan raya presiden di Amerika pada 4 November nanti. Walhal hingga ketika ini Barack Obama mendapat sokongan lebih di kalangan penyokong Parti Demokrat. Tidak ada pula media Amerika sama ada akhbar atau televisyen menyiarkan gambar ayahnya yang berasal dari Kenya di Afrika dan gambar ibunya yang kulit putih serta gambar bapa tirinya, warga Indonesia. Demikianlah juga peranan media.


Lain pula hal yang berlaku di Malaysia. Turut berperanan selain dari akhbar, televisyen dan radio ialah laman web, termasuk Malaysia Today dengan penulis blognya, Raja Petra Kamarudin. Dalam isu Isnin 10 Mac disebut betapa selama ini pihaknya mengawasi perjalanan BN. Dan mulai kini pihaknya akan mengawasi lima negeri yang dikuasai oleh pihak pembangkang.


Sebenarnya yang menjadi pengawas ialah rakyat seluruhnya sebagaimana disebut dalam forum khas anjuran ISIS dengan tiga pembicara ternama, Profesor Datuk Shamsul Amri Baharudin dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Chandra Muzaffar, aktivis sosial dan akademik serta Rita Sim Sai Hoon dari Yayasan Akhbar Sin Chew.


Hadir dalam forum kedua selepas tengah hari hingga petang ialah bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam bersama kira-kira 150 diplomat asing. Lalu beliau menyatakan beberapa faktor mengenai pilihan raya antaranya:


Pilihan raya 2008 salah satu yang paling bebas dan demokratik. Jelas sekali suara rakyat yang melintasi garisan perkauman. Isu utama bukan mengenai bangsa.


Internet memainkan peranan penting. Pihak oposisi menggunakannya sepenuhnya, tetapi diabaikan oleh Barisan Nasional (BN)


Di tiap negeri yang BN tewas, ia mesti menyusun diri semula seperti pihak oposisi dalam menangani keperluan dan aspirasi rakyat.


- Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.

No comments:

Post a Comment