Monday, December 31, 2007

Melayu itu Islam? atau Islam itu Melayu?

Bahasa adalah jiwa bangsa. Pengunaan bahasa yang betul dan baik boleh membawa kearah kebaikan dan sebaliknya. Penggunaan istilah di dalam bahasa sememangnya sangat sensitif. Adakalanya penggunaan istilah yang di salah fahami boleh membawa kesan yang sangat buruk kepada sesuatu perkara. Di antara yang paling buruk ialah jika ia membabitkan pemahamam orang terhadap agama. Menggantikan Melayu sebagai ganti kepada agama Islam, dan kafir kepada orang Cina dan India adalah sesuatu persepsi masyarakat yang buruk dan salah. Di simpulkan bahawa sekiranya ada orang Cina yang masuk Islam di katakan “masuk Melayu”, atau kadangkala ada juga yang disebut “bukan Islam – Cina”. Nau’zubillah. Persepsi ini seakan-akan Islam diwakili Melayu dan Cina mewakili kafir. Sehingga lebih buruk lagi ada yang melebel sepanjang hayat seorang bukan Muslim yang berbangsa Cina jika menganut agama Islam sebagai mualaf. Seakan-akan hanya Melayu sahaja yang dapat menjadi Muslim sejati di negara ini, adapun walau orang Cina sekuat mana pun Islamnya dia tetap tidak di anggap sebagai menumpang atau tidak asli.


Padahal ramai orang Cina yang menganut Islam dan keIslaman mereka juga baik, dan berapa banyak pula orang Melayu yang lahir di dalam keluarga Muslim, namun keIslaman mereka harus dan wajar dipertikaikan. Perbezaan pakaian juga sering ditimbulkan. Baju Melayu, Kain Pelikat, Samping, dan Songkok dikatakan pakaian Islam, padahal pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. tidak wujud perkara-perkara ini. Namum pemikiran praktikal masyarakat Malaysia menganggap ia pakaian berunsur agama, kerana ia budaya Melayu. Tidak mengatakan ianya salah, Islam tidak menghalang budaya yang tidak menyanggahi nas-nas rukunnya. Namum masih ada orang Melayu yang menganggap makan menggunakan sepit (“chop stick”) sebagai sebagai salah, kerana ia bukan budaya Melayu. Tiada salahnya makan menggunakan sepit atau makan menggunakan sudu dan garfu, kerana Nabi Muhammad s.a.w. mengajar kita apabila makan, sebutlah nama Allah s.w.t. dan gunakanlah tangan kanan, makan dengan tertib dan berhenti sebelum kenyang. Itu sahaja.


Di Malaysia senario menukar agama sangat sensitif, orang Islam amat sensitif jika seseorang Muslim itu Murtad, dan begitu juga sebaliknya pada agama lain. Cuma ia tidak begitu diperkatakan. Bagi umat Islam adalah menjadi satu kebanggaan sekiranya diceritakan seseorang itu mendapat hidayah dan memeluk agama Islam, secara langsungnya membuktikan kebenaran agama Islam. Tetapi pernahkah terfikir, penganut agama asalnya akan tersinggung.


Orang Melayu akan menyuruh saudara baru Islam menukar nama mereka kepada nama yang lebih Islam. Seakan-akan nama seperti Leong, Ah Chong, Lim, mewakili kekufuran. Mungkin kena bunyinya tidak Arab, lalu orang Melayu berasa janggal, kerana kebanyakan nama Melayu berasal dari bahasa Arab. Bahkan, banyak nama Melayu yang mempunyai makna yang baik dalam bahasa Arab. Adakah Melayu itu Arab? atau Arab itu Melayu? Nabi Muhammad s.a.w. sendiri tidak menyuruh mereka yang menganut agama Islam menukar nama mereka pada zaman Baginda. Menukar agama kepada nama yang lebih Islam bukan bererti akan menyekat hidayah kepada mereka, Cuma sepatutnya saudara baru perlu diberi pilihan. Jika mengubah nama adalah wajib, ia menjadikan orang Cina yang bukan Muslim takut untuk menganut Islam. Seakan-akan akan terbuang keluarga asal mereka dan hilang hubungan sesama kerabat. Apa salahnya mereka terus kekal dengan nama asal selagi ia tidak membawa maksud yg buruk.


Apatah lagi melihat watak bangsa Melayu yang semakin bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri. Sementara banyak watak bangsa Cina yang padanya banyak sifat-sifat dan tabiat yang di puji didalam Islam. Orang Cina pula, disebabkan oleh peristiwa sejarah menjadikan majoriti mereka tidak mengenal dan menganut Islam. Seruan Islam mungkin tidak jelas sampai ke pengetahuan mereka. Ditambah pula dengan orang Melayu yang menganut Islam ini tidak menyampaikan dakwah yang jelas. Sebaliknya dalam banyak hal menunjukkan hal yang bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri. Anggapan meng’seiras’kan Islam dengan watak Melayu pada ketika ini banyak membawa kesan buruk didalam banyak hal. Namun tidak dinafikan masih ada contoh-contoh yang baik dan boleh di ikuti di dalam masyarakat Malaysia ketika ini.

No comments:

Post a Comment